F&B : Orang Muo Sarapan Sate

0
766

 

KEBIASAANNYA orang makan sate pada waktu malam atau paling awal pada waktu petang.

Tetapi di bandar Muar, lain ceritanya. Di sini sate sudah menjadi sebahagian daripada menu sarapan pagi yang popular – sama ada sate daging, ayam, babat (perut) atau sate paru.

Pergi sahaja ke Jalan Maharani antara jam 7 hingga 10 pagi. Di seberang jalan bertentangan Stesen Bas Ekspres dan Teksi Muar, misalnya, kelihatan pembakar sate sedang sibuk melakukan tugasnya sementara di meja-meja makan pula sudah terhidang pinggan-pinggan sate berserta kuahnya.

Pelanggan pula kelihatan sedang enak menikmati sate yang dicucuk pada lidi, mungkin dimakan bersama-sama lontong dan kuah lodeh, mee rebus, nasi lemak atau soto.

Senario sama turut dilihat di warung-warung di Jalan Abdullah dan Jalan Petri di Tanjung Emas. Itu hanyalah antara tempat yang menjadi tumpuan ramai. Sebenarnya, ia terdapat di banyak kedai makan di bandar ini.

Oleh sebab orang Muar makan sate pada waktu pagi, maka agak sukar (bukan tidak ada langsung) untuk mencari sate pada waktu malam di bandar ini.

Kebiasaan bersarapan sate di Muar dikatakan sudah berlaku sejak kedai sate pertama dibuka di Jalan Sulaiman pada tahun 70-an.

Sehingga hari ini, makan sate pada waktu pagi sudah menjadi tradisi penduduk Muar.

Keunikannya kini menjadi satu daya tarikan orang luar yang datang ke bandar ini, termasuk orang kenamaan dan kalangan artis.

Pada hari biasa, kira-kira 1,000 cucuk sate boleh dijual dalam masa sehari, manakala pada hujung minggu, ia mampu mencecah sehingga 3,000 cucuk sehari.

Benarlah kata orang, lain padang lain belalang. Lain tempat lain ragam.

Itulah keunikan Muar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here