Culture : 5 Peralatan yang Dijadikan Pemainan Kanak-Kanak 90-an di Malaysia

0
724

Kewujudan pelantar media sosial dan permainan digital di telefon pintar telah jelas menampakkan perbezaan yang ketara dari segi jenis aktiviti yang dilakukan oleh kelompok generasi muda pada zaman dahulu dan sekarang di Malaysia. Pada zaman 90-an, tidak semua kanak-kanak yang mempunyai kemewahan untuk memiliki telefon bimbit, dan jika ada pun, telefon bimbit zaman dahulu tidak secanggih yang ada pada zaman sekarang. Bolehlah jika ingin menghabiskan masa bermain permainan Snake ataupun Space Impact. Namun, kanak-kanak zaman dahulu lebih suka bermain di luar dan berinteraksi bersama rakan-rakan.

Selain bermain permainan sukan seperti bola sepak dan softball, terdapat banyak permainan tradisi lain yang dilakukan dalam mengisi masa lapang. Jika sekarang semua kanak-kanak perlukan telefon pintar ataupun PlayStation untuk bermain, kanak-kanak zaman dahulu hanya memerlukan alatan yang ada di sekeliling untuk dijadikan satu bentuk permainan. Di sini, kami senaraikan dan jelaskan 5 jenis alatan yang selalu dijadikan permainan kanak-kanak zaman 90-an:

1. Penutup Botol

Pada zaman dahulu, penutup botol kaca air berkarbonat akan dikutip dan dikumpul oleh kanak-kanak untuk bermain permainan yang dikenali sebagai “ceper” ini. Permainan ini lebih diminati oleh kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Untuk bermain permainan ini, 5 penutup botol kaca diperlukan dan boleh bermain dengan lebih daripada seorang. Terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi untuk mendapatkan mata dan permainan ini memerlukan skil jentikan yang baik untuk menang. Sesiapa yang berjaya mendapat mata tertinggi adalah pemenang.

2. Pemadam

Pemadam juga adalah antara objek yang suka dikumpul oleh kanak-kanak 90-an. Mempunyai koleksi pemadam dengan pelbagai gambar dan “design” merupakan simbol kehebatan dalam permainan pemadam ini. Permainan pemadam ini hanya memerlukan pemadam dan pemain manakala pemenang akan ditentukan apabila satu pemadam berjaya menindih pemadam yang lain. Mengikut peraturan yang biasanya digunakan, pemenang akan memenangi kedua-dua pemadam yang ditarungkan.

3. Batu

Dengan mengumpul batu-batu yang sesuai, kanak-kanak boleh bermain permainan batu seremban. Bagi kanak-kanak perempuan, kebanyakannya lebih suka bermain permainan ini berbanding penutup botol. Ini kerana pergerakan tangan yang laju, lembut dan cekap diperlukan untuk mahir dalam permainan ini. Hanya 7 ketul batu diperlukan untuk bermain. Cara bermain adalah dengan melontar satu batu keatas sambil mengambil batu di bawah sebelum menangkap semula batu yang telah dibaling.

4. Buku Latihan

Satu permainan yang boleh disalah anggap dengan membuat latihan matematik apabila melihat dua orang kanak-kanak menconteng buku latihan matematik. Sesetengah kanak-kanak memanggil permainan ini dengan nama “kepong”. Permainan ini hanya memerlukan pen dan buku latihan matematik dan selebihnya daya pemikiran dan strategi yang hebat untuk menang. Selain “Kepong”, banyak lagi jenis permainan yang boleh dibuat dengan menggunakan buku dan kertas. Ini termasuk meronyokkan kertas untuk membuat bola sepak yang boleh dimain di dalam kelas.

5. Getah

Seperti kertas, getah juga boleh digunakan untuk pelbagai permainan kanak-kanak 90-an. Salah satunya adalah untuk permainan “lompat getah” yang lebih sesuai bermain di luar keranaya ia memerlukan ruang yang besar. Permainan ini hanya memerlukan pemain melompat getah-getah yang disambung menjadi tali. Ketinggian paras getah akan meningkat selepas setiap lompatan yang berjaya.

Bukan ini sahaja, ada pelbagai lagi jenis permainan yang boleh dimain dengan peralatan lain seperti tiang, kapur dan lidi atau mancis. Ada juga permainan yang boleh dimainkan tanpa sebarang alatan seperti “kejar-kejar”, “Police Sentry” dan “Pepsi Cola”. Ada sahaja cara yang boleh buat bermain oleh kanak-kanak zaman dahulu. Jika disuruh kanak-kanak zaman sekarang bermain permainan-permainan ini, mungkin akan dianggap bosan jika dibandingkan dengan pelbagai jenis permainan grafik digital dan virtual yang ada sekarang. Walaubagaimanapun, permainan-permainan ini telah memberi kesan yang positif dan menjadi satu bentuk hiburan yang sihat terhadap anak-anak 90-an dari segi kesihatan mental dan jasmani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here